Tragedi Delima Express 5

Tuesday, October 12, 2010



.....................................................

Penumpang dakwa bas ekspres dipandu laju



SEREMBAN: Beberapa penumpang bas Ekspres Delima yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 223 Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) kelmarin, mendakwa kenderaan itu dipandu laju hingga hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan.

Pelajar kolej swasta, Shanor Amir, 18, dari Padang Temu, Melaka, berkata dia sedar ketika kejadian berlaku dan dapat merasakan bas berpusing selepas melanggar penghadang jalan.

“Saya tidak tidur seperti sebahagian penumpang lain dan dapat merasakan bas dipandu laju, sebelum berpusing dan terbabas ke laluan bertentangan.

Kejadian berlaku terlalu pantas dan ramai penumpang tidak menyedarinya kerana ramai yang tidur,” katanya yang cedera muka dan badan ketika ditemui di Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS), selepas lawatan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Aisyah Mohd Nor, 18, dari Sungai Udang Melaka, juga mendakwa bas dipandu laju, sebaik memulakan perjalanan dari Stesen Melaka Sentral.

“Bas memang dipandu laju sebaik memulakan perjalanan dan kemudian memasuki lebuh raya,” katanya yang kali kedua menaiki bas itu dari Melaka ke Kuala Lumpur. Tox Xue Hui, 23, yang mengakui bas bukan saja dipandu laju, malah sejak awal perjalanan, pemandu dilihat sentiasa mahu berada di lorong kanan dengan memotong kenderaan lain.

“Sehari sebelum kejadian, saya menaiki bas yang sama untuk ke Melaka dan perasan, ia dipandu pemandu sama. Ketika perjalanan, dia juga memandu laju dan saya anggarkan perjalanan hanya mengambil masa sejam setengah untuk sampai ke Melaka,” katanya yang menerima rawatan di Hospital Pantai Keroh, Melaka.

Kemalangan menyebabkan Tok Xue dari Ayer Hitam, Batu Pahat dan bekerja di Kuala Lumpur, menerima 15 jahitan pada kepala, selain retak tulang pinggang dan patah tulang selangka.

Sementara itu, polis tidak menolak kemungkinan faktor kelajuan antara punca bas berkenaan terbabit dalam kemalangan.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Mizan Md Dom, berkata ia akan dikaji pasukan teknikal dengan menghantar bas menjalani pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

“Kelajuan memang dalam perkiraan polis, tetapi kita juga melihat faktor lain seperti kerosakan mekanikal yang boleh menyebabkan kemalangan,” katanya.

Ketua Bahagian Komunikasi dan Pembangunan Perniagaan PUSPAKOM, James Lee, berkata walaupun tiada kotak hitam, kaedah lain boleh digunakan untuk mengetahui kelajuan bas berdasarkan keadaan di lokasi kejadian seperti kesan brek pada jalan dan keterangan saksi


^^^^^^

Brek dipercayai jadi punca nahas

REMBAU: Kementerian Pengangkutan tidak menolak kemungkinan kemalangan bas Ekspres Delima di Kilometer 223 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) dekat Pedas di sini, malam kelmarin, berpunca daripada masalah brek atau sistem stereng berdasarkan kesan brek di tempat kejadian.

Menterinya, Datuk Seri Kong Cho Ha, berkata penyiasat Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) menemui kesan brek yang panjang dari laluan asal bas ekspres berkenaan, sebelum terbabas dan terbalik ke atas kenderaan lain di laluan bertentangan.

Katanya, pasukan itu dengan dibantu agensi lain termasuk polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) sedang menyiasat lanjut kedua-dua sistem itu bagi mengenal pasti punca kemalangan.

“Pemeriksaan awal rekod bas, ia dalam keadaan baik, malah siasatan terhadap pemandu yang maut dalam kemalangan itu, R Ramachandra, mendapati dia tidak mempunyai rekod kesalahan trafik yang serius dan bas tiada saman laju. Mungkin kemalangan disebabkan masalah brek atau sistem stereng dan ini sedang disiasat,” katanya ketika melawat tempat kejadian semalam.

Kong berkata, pihaknya sudah memulakan siasatan dengan kerjasama JPJ, JKJR, MIROS, PUSPAKOM, polis, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Beliau berkata, bas ekspres terbabit didaftar pada 2007 dan pemeriksaan awal mendapati ia kerap menjalani pemeriksaan berkala PUSPAKOM dan kali terakhir pada Mei lalu dengan keadaan tayar ketika kejadian disahkan dalam keadaan baik.

Sementara itu, Kong berkata, kementerian sedang membuat pindaan Akta Pengangkutan Jalan bagi memperketatkan penguatkuasaan dan memberi kuasa kepada JPJ menyiasat dan membuat pemeriksaan pemandu yang dipengaruhi dadah.


^^^^^^

Mangsa nahas yang meninggal dunia


 


^^^^^^
  
Bantuan lambat tiba bantu mangsa

BATU PAHAT: Kelewatan pasukan bantuan menyelamatkan mangsa kemalangan maut di Kilometer 223 Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), terutama ambulans dikatakan punca ramai mangsa yang parah tidak dapat diselamatkan.

Seorang keluarga mangsa mendakwa ambulans hanya tiba kira-kira jam 9.30 malam kelmarin walaupun kemalangan berkenaan berlaku jam 6.50 petang


Keluarga Goo Chuan Heng, 34, mendakwa kematian anak keenam daripada 10 beradik itu dapat dielak jika bantuan perubatan diberikan segera.

Abangnya, Chuan Seng, 37, berkata beliau bergegas ke tempat kejadian daripada Batu Pahat sejurus dihubungi kakaknya, Ai Wah, 42, yang terselamat dan turut berada dalam van berkenaan bersama adiknya.

“Saya menerima panggilan telefon daripada Ai Wah yang turut berada di dalam van ketika kejadian pada kira-kira jam 6.45 petang, sebelum bergegas ke lokasi bersama bapa, Goo Ah Leng, 70 dan ibu, Tan King Choo, 65.

“Setiba kami di Melaka kira-kira jam 8.30 malam, keadaan jalan raya sesak teruk menyebabkan saya menahan sebuah motosikal sebelum menumpang ke tempat kejadian.

“Sebaik tiba di tempat kejadian saya melihat adik saya masih berada di dalam van tanpa diberikan sebarang bantuan, menyebabkan saya memberanikan diri dan mengeluarkannya dari kenderaan itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Chuan Seng mendakwa, ketika mengeluarkan adiknya itu beliau sudah tidak bernyawa tetapi hairan kerana tiada pihak bertanggungjawab yang menghulurkan bantuan dan mengeluarkan mayat adiknya terlebih dulu.

“Saya memandu dari Batu Pahat dan jika diikutkan, jarak saya lebih jauh berbanding mereka yang bertugas bagi membantu mangsa di lokasi, adalah tidak logik semua mangsa hanya diberikan bantuan selepas kira-kira dua jam kemalangan berlaku sedangkan terdapat sebuah hospital di kawasan berhampiran," katanya.

Sementara itu, bapanya, Ah Leng berkata, sekiranya bantuan perubatan diberikan segera beliau yakin anaknya dan beberapa mangsa lain mungkin dapat diselamatkan.

“Memang benar berlaku kesesakan jalan raya tetapi, bukankah ambulans boleh membunyikan siren kenderaan lain pasti akan memberikan laluan atau menggunakan jalan lain untuk tiba di lokasi," katanya.

Ai Wah, kini berada di sebuah hospital di Melaka untuk mendapatkan rawatan akibat kecederaan di kepala dan badan manakala jenazah Chuan Heng selamat tiba Batu Pahat pada jam 10 pagi semalam dan akan disemadikan di jirat Cina di Jalan Tanjong Laboh, Rabu ini.

^^^^^^

Bapa terkilan anak tidak sempat terima ijazah


MELAKA: Seorang bapa terkilan kerana tidak dapat melihat anaknya menggenggam Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Seni) apabila anaknya itu terbunuh dalam kemalangan ngeri di Kilometer 223, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat, kelmarin. 


Abdul Karim Jamaludin, 60, berkata anaknya Norazmi, 24, dijadual menerima ijazah itu pada majlis konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim, Perak Jumaat ini.   

“Anak saya pergi ke Kuala Lumpur petang semalam (kelmarin) menaiki bas ekspres untuk berjumpa kawan-kawannya bagi membuat persiapan menghadiri konvokesyen itu dan kemudian pergi bersama kawan-kawannya ke UPSI,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Melaka, semalam.


Dalam kejadian jam 6.40 petang itu, 12 terbunuh dan lebih 40 cedera dalam kemalangan ngeri membabitkan sebuah bas ekspres, sebuah bas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebuah van dan tiga kereta. 


Abdul Karim yang reda dengan pemergiaan anak keenam dari tujuh adik-beradik itu, berkata jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Kempas, Selandar, semalam. 

Sementara itu, Maria Johan, 54, ibu kepada seorang lagi mangsa yang terbunuh dalam kejadian itu, Azizi Ajis, 19, berkata anaknya yang baru bekerja dengan sebuah agensi pelancongan di Kuala Lumpur, memberitahunya malas untuk pulang ke ibu negara kerana sayang untuk berpisah dengan adik- beradiknya. 

“Beliau (Azizi) sempat minta maaf dengan Pak Longnya yang akan menunaikan fardu haji dan minta (Pak Long) doakan beliau berjaya melanjutkan pelajaran di Universiti Kuala Lumpur,” katanya yang tinggal di Kampung Gapis, Nyalas di Jasin.


^^^^^^
  
Ajal lepas merajuk


KELUARGA mangsa Fadzry Tan Abdullah, 45, (kanan) menenangkan anaknya, Natasha Ernie, 19, sementara isterinya, Rohata Adam, 43, (dua kiri) ditenangkan saudara mereka selepas mengetahui kematian anak mereka, Sherene Sofia, 18. 

MELAKA: “Tak sangka, kami ‘lepaskan’ dia sekejap saja, tetapi dia pergi buat selama-lamanya. Itulah kali pertama dia menaiki bas ekspres sepanjang hayatnya, tapi menjadi yang terakhir,” rintih Rohata Adam, 43, ibu kepada Sharene Sofia Fadzry Tan, 18. 

Anak bongsu daripada dua beradik itu antara 10 penumpang bas ekspres Delima yang terbunuh dalam kemalangan ngeri meragut 12 nyawa di Kilometer 222.9 Lebuh Raya Utara-Selatan, lewat petang kelmarin.

Rohata tidak menduga permintaan Sharene Sofia yang beria-ia mahu ke Klang, Selangor, menemui rakannya sehingga merajuk beberapa hari kerana tidak dibenarkan pergi, ibarat petanda ajalnya sudah hampir.

Menurut Rohata, dia dan suaminya, Fadzry Tan Abdullah, 45, keberatan melepaskan anak mereka menemui rakannya yang dikenali ketika dia mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di negeri ini tahun lalu.

“Bagaimanapun, Sofia merajuk dan memujuk agar saya membenarkannya pergi bermalam dua hari di rumah rakannya itu.

“Tidak mahu dia merajuk berpanjangan, akhirnya saya membenarkannya pergi,” katanya yang ditemui di rumah ibunya di Kilometer 14, Kampung Umbai, dekat sini, semalam.

Jenazah Allahyarham Sharene Sofia dikebumikan kira-kira jam 11.30 pagi semalam, di tanah perkuburan Islam Umbai, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.50 petang kelmarin, bas ekspres Delima yang membawa 34 penumpang, terbabas dan memasuki laluan bertentangan lebuh raya dan menghempap beberapa kenderaan menyebabkan 12 terbunuh.

Polis mengesahkan 10 yang terbunuh penumpang dan pemandu bas ekpres berkenaan dan masing-masing satu dipercayai pemandu van dan kereta Honda Accord.

Rohata berkata, selepas diizinkan pergi, Sharene Sofia mula berubah menjadi terlalu periang dan suka bermanja dengannya serta keluarga.

“Dia nampak ceria berlebihan dan suka bergurau serta menyakat saya. Malam sebelum menaiki bas, dia meminta tidur bersebelahan kakaknya (Natasha Ernie, 19), tetapi anak sulung saya tidak membenarkannya,” katanya yang kini menetap di Taman Semabok Perdana, dekat sini.

Menurut Rohata, selepas menghantar Sharene Sofia di Terminal Melaka Sentral, dia tidak turun dari kereta, sebaliknya hanya bersalaman ketika menurunkannya berhampiran bas yang mahu dinaiki.

“Selepas itu saya tidak lagi melihat kelibatnya. Bagaimanapun, saya sempat menghubunginya bagi memastikan dia selamat menaiki bas,” katanya.

Rohata berkata, sejam selepas itu, dia menghubungi telefon bimbit anaknya lima kali termasuk menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS), tetapi tidak dijawab.

“Saya bertambah bimbang apabila rakannya yang menunggu di Kuala Lumpur menghubungi memberitahu bas dinaiki Sofia belum tiba.

“Saya dihubungi semula rakannya dan terkejut apabila diberitahu kenderaan dinaiki anak saya terbabit kemalangan.

“Saya menghubungi polis di Negeri Sembilan dan Melaka, namun mereka gagal mengesan nama anak saya dalam senarai mangsa cedera atau terbunuh.

“Kerana tidak sedap hati, saya dan suami terus ke Hospital Melaka bagi mendapatkan maklumat di Jabatan Kecemasan, namun masih gagal,” katanya.

Bagaimanapun, kata Rohata, apabila tiba di Jabatan Forensik, anggota polis memintanya membuat pengecaman menerusi gambar.

“Alangkah terkejut dan pilunya saya apabila mendapati gambar mayat itu anak saya. Apapun, saya tetap reda dengan ketentuan Allah SWT,” katanya.



..................................................

~wassalam~ 

You Might Also Like

4 Comments

  1. saya memang takkan nek bas, bek nek air asia:)

    ReplyDelete
  2. ok jugak..tp kalu kampung jauh, bole la..kalu dkat mcm melaka-kL 2 jam je..

    ReplyDelete
  3. bas adalah pengangkutan utama saya utk ke mana2....

    ReplyDelete
  4. eppy :
    betol dear..same la...huhuhu

    ReplyDelete

SHARE LINK ANDA DI SINI

<a href="URL LINK BLOG U OLS"> NAMA BLOG U OLS</a>

thanks for dropping by...
^__^